Selasa, 22 Oktober 2013

Jalan pulang

Malam tadi aku bermimpi. 

Aku tersesat di dalam perjalananku untuk ke sebuah kota di timur dunia. Entah bagaimana, aku sampai di sebuah pekan yang begitu asing dan terpencil. Tidak pernah aku mengetahui tentang kewujudan pekan kecil ini. Malah, pengembara-pengembara yang pernah mengembara ke timur dunia pun tidak pernah memperkata dan bercerita tentangnya.

Hari yang senja sudah semakin gelap. Jalan-jalan di pekan ini sudah lama sunyi. Tidak kelihatan satu pun kelibat manusia di atas jalan dan di kaki lima deretan rumah kedai di pekan kecil ini. Tiba-tiba datang tiupan angin senja mendinginkan suasana. Rasa cemas mula menular dalam hati. Aku percepatkan langkah sambil mata ini meninjau kiri dan kanan dengan harapan ada kelibat manusia yang boleh ku jadikan tempat bertanya.


Sedang aku berjalan dalam rasa cemas, tiba-tiba kelihatan seorang lelaki yang seakan sebaya denganku sedang berjalan di sebuah lorong gelap diantara 2 buah rumah kedai. Hatiku yang tadinya cemas mula berasa sedikit lega. Aku terus berjalan menuju ke arahnya untuk bertanya arah jalan pulang.

"Wahai sahabat! Maafkan aku kerana ingin bertanya. Adakah engkau seorang sahabat yang boleh membantuku mencari jalan pulang?"

"Ya, akulah sahabatmu. Akan ku cuba membantumu untuk pulang."

"Apa yang boleh kau lakukan untuk membantuku pulang?"

"Apa sahaja yang boleh aku bantu..."

"Apa sahaja?!"

"Ya. Aku sanggup membiarkan kepalaku ini dipenggal agar engkau dapat menemui jalan yang boleh membawamu pulang ke kebenaran yang hakiki..."

Tiba-tiba aku terus terjaga dari tidur.
 

Tanpa ku sedari, air mataku mengalir di pipi.


- 12 Jun 2013


2 ulasan:

  1. sedarlah dari kejahilan dan duniawi...

    BalasPadam
  2. Jika aku hanyut dalam kejahilan dan kemabukan duniawi, mohon bantu dan selamatkan aku dari terus hanyut dan lemas...

    BalasPadam