Selasa, 1 Oktober 2013

Untuk ketenangan, kita perlu lakukan apa yang perlu

Aku sedang duduk keseorangan di sebuah meja di satu sudut terpencil di kafetaria pejabat pada waktu makan tengahari. Atas meja di hadapanku sudah ada sepinggan nasi beserta lauk, ulam dan segelas air untuk aku nikmati. Aku gemar menikmati makan tengahari secara berseorangan kerana aku mahu rehatkan otak yang berserabut akibat kerja dari awal pagi dan kerana aku mahu menikmati hidangan makan tengahari dengan aman dan tenteram.

Hari ini hidangan yang aku pilih ialah nasi putih berlaukkan ikan keli bakar, ulam petai dan kacang panjang, air asam untuk mencicah daging ikan keli, sambal tempoyak dan segelas air sirap. Aku siramkan nasi putih dalam pinggan dengan sedikit kuah masak lemak ayam untuk memberikan sedikit rasa.

Sedang aku hendak mula menjamah makanan, tiba-tiba datang Ariffin Said menerpa ke mejaku. Dia terus menarik kerusi yang berhadapan denganku dan terus duduk. Air mukanya memaparkan wajah yang begitu teruja. Mungkin dia mempunyai satu gosip besar yang hendak dia kongsikan bersama. Apa lagi yang boleh aku harapkan dari seorang manusia yang terkenal dengan gelaran 'Kiah Propa' di pejabat tempat aku bekerja.

"Kau tau tak Is...", Ariffin Said memulakan kata dengan penuh keterujaan.

"Tunggu dulu!" Aku memotong percakapannya sambil aku angkat tapak tangan kiriku seperti gaya seorang polis trafik menahan aliran trafik. Ariffin Said berhenti bercakap dan dia agak terkejut dengan tindakanku. Tangan kiri yang aku angkat tadi aku genggam dan aku biarkan jari telunjuk terus berdiri, terus aku halakan ke lubang hidung sebelah kiriku. Dengan tenang aku terus 'meneroka' lubang hidungku sambil disaksikan oleh Ariffin Said dengan wajah yang berkerut yang menandakan rasa jijiknya terhadap tingkah laku yang meloyakan itu.

"Kau dah kenapa?! Nak makan pun sempat lagi korek hidung!"

"Aku punya sukalah..." jawabku tenang sambil aku keluarkan jari telunjuk kiri itu dari lubang hidung dan aku halakan kepadanya. Dengan pantas dia mengelak dan terus bangun dari kerusi.

"Gila pengotor!" getus Ariffin Said kepadaku sebelum dia beredar.

Aku tersenyum. Akhirnya aku dapat menghabiskan masa seorang diri menikmati hidangan makan tengahari tanpa perlu memberikan separuh perhatian untuk mendengar gosip dari Ariffin Said.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan