Rabu, 30 Oktober 2013

Engkau kini lebih suci dari mereka


Dahulu, kau hidup melarat di celah lorong yang gelap, lembab dan hanyir ini. Tiada cahaya yang menerangi. Rasa hati menjadi mata, rasa hati menjadi petunjuk jalan.

Kau jamah apa yang ada di depan mata tanpa memikirkan yang terhidang itu daging atau bangkai, kerana mata tidak mampu melihat apa yang terhidang. Kau minum air dari lopak air yang kau jumpa, tanpa mengetahui sama ada ianya air dari kolam air yang jernih atau air dari lopak becak yang berlumpur lagi berselut.

Setelah sekian lama kau hidup di lorong yang gelap, lembab dan hanyir itu, kau telah diberikan sebatang obor oleh seorang tua berpakaian putih yang sedang menumpang lalu di lorong itu. Dia berikan kau obor itu kerana dia tahu yang kau lebih memerlukan. Dia tidak kisah jika terpaksa berjalan di lorong gelap itu tanpa obor kerana dia mampu mengharungi kegelapan lorong itu kerana dia juga pernah mendiami lorong itu dan dia sudah tahu akan selok beloknya.

Dengan obor itu segala yang malap dan gelap sebelum ini telah menjadi terang dan nyata. Kau sudah dapat melihat dan membezakan daging dari bangkai sebelum kau jamah, dan kau sudah dapat membezakan kolam air jernih dari lopak becak berlumpur sebelum kau cedok airnya untuk kau membasah tekak.

Dengan obor yang baru kau peroleh itu, kau menyusur masuk lebih dalam di lorong yang gelap, lembab dan hanyir yang pernah kau diami sebelum ini didalam kegelapan. Semakin dalam kau masuk, kau mula bertemu dengan mereka-mereka yang sedang hidup seperti waktu kau hidup dalam kegelapan sebelum ini, yakni mereka-mereka yang makannya terdiri dari daging dan bangkai, minumnya pula antara air jernih dan air lumpur.

Dengan obor yang ada ditangan, kau gunakannya untuk membakar mereka kerana kau benci dengan apa yang kau lihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan