Aku bukan lembu ternak yang dicucuk hidung, yang hanya tahu patuh mengikut tanpa membantah apabila tali hidung ditarik tuannya. Aku juga bukan biri-biri yang hanya tahu bergerak di dalam kawanan besar yang dikawal oleh si pengembala tanpa bertanya kemana akhirnya kami akan dibawa. Biarkan aku jadi seladang liar di hutan tebal, atau menjadi kambing gurun yang hidup di bukit berbatu yang tinggi.
Aku mahu jadi seladang liar yang bebas berkeliaran di dalam hutan dari menjadi lembu ternak di kandang. Walaupun hidupku akan terdedah kepada bahaya harimau dan buaya, kebimbangan itu tidak dapat menenggelamkan nikmat yang aku rasai ketika menjalani hidup yang bebas dan begitu hampir dengan alam. Aku dan alam menjadi satu.
Dalam kebebasan hidup bagai seladang, pasti akan aku tempuhi jalan yang gelap dilindungi belukar. Mungkin di sebalik belukar itu ada padang ragut dan sungai jernih untuk ku nikmati, atau mungkin juga di sebalik belukar itu ada harimau dan buaya sedang menunggu. Itu semua tidak aku gentar. Biar ku redah belukar itu agar aku dapat kepastian.
Aku mahu jadi kambing gurun yang menghabiskan masa berkeliaran memanjat bukit-bukau berbatu yang tinggi dari menjadi biri-biri yang meragut di tanah lapang. Walau maut dan bahaya mengikutiku setiap langkah, ketakutan itu tidak mampu menenggelamkan nikmat yang aku rasai apabila dapat melihat betapa luas dan indahnya alam yang terbentang dan betapa nyamannya rasa apabila angin gunung menerjah tubuh.
Dalam kebebasan hidup bagai kambing gurun, pasti akan aku temui jalan curam yang diselindungi kabus. Mungkin disebalik kabus itu ada jalan yang akan membawa aku ke tempat yang lebih tinggi untuk aku nikmati pemandangan alam yang lebih cantik, atau di sebalik kabus itu mungkin ada jalan rapuh yang boleh membawa kepada ajalku. Itu semua tidak aku gentar. Akan aku redah kabus itu agar aku tahu apa yang tersembunyi.
Biarkan aku bebas bagai seladang liar atau sebagai kambing gurun. Tak perlu kau bimbangkan segala bahaya dan bencana yang menunggu kerana itulah jalan yang aku pilih. Biarkan aku hidup dengan caraku.
Mungkin apabila kita berjumpa kelak, kita boleh bertukar cerita, berkongsi rasa, dan moga itu dapat menolong kita menjadi lebih faham akan rencah dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan