Rabu, 13 November 2013

Bukan seperti yang kau sangka

Setelah lama berada di dewan makan kerana sibuk menyambut dan melayan tetamu pada majlis persandingan sepupu perempuan sebelah ibuku, aku mengambil keputusan untuk keluar dan berehat sebentar di sebuah ruang rehat yang disediakan di bahagian sebelah kanan ruang legar depan pintu masuk ke dewan makan tersebut.

Setibanya aku di sana, aku lihat sudah ramai saudara-mara memenuhi ruang rehat itu. Deretan kerusi banquet yang disediakan hampir penuh diduduki. Mungkin mereka juga mahu melepas lelah selepas penat menyambut dan melayan tetamu yang hadir di majlis persandingan itu seperti juga aku.

Tanpa berlengah aku terus menuju ke sebuah kerusi kosong paling hujung yang terletak di sebelah pintu masuk bilik air. Kedudukannya yang hampir dengan bilik air menjadikan ianya bukan pilihan utama untuk orang duduk melepas penat. Mana mungkin dapat rehat dengan selesa kalau terpaksa menghidu bau hancing yang keluar dari bilik air.

Memandangkan tiada lagi pilihan, aku terpaksa duduk di kerusi tersebut. Aku duduk bersebelahan dengan Pak Ngah, pakcik sebelah ibuku. Aku menegur Pak Ngah dan mula berbual hal-hal keluarga dengannya, sebelum meleret ke hal bolasepak.

“Pak Ngah penyokong tegar M.U. Dah lama Pak Ngah ikut M.U”, jelas Pak Ngah kepadaku. “Sekarang ni memang la M.U merudum, tapi Pak Ngah pasti, Pak Ngah yakin tak lama lagi M.U akan bangkit.”

“Payah jugak diaorang nak bangkit Pak Ngah. Pasukan-pasukan lain semua hebat-hebat”, sampukku.

“Setiap yang jatuh, pasti akan bangkit, percayalah cakap Pak Ngah. Kelantan tu tak lama lagi M.U akan jatuhkan!” kata Pak Ngah bersemangat. Aku pelik. Mungkin Pak Ngah terkeliru antara Barclays Premier League dan Liga Super Malaysia kerana terlalu bersemangat bercerita tentang sokongannya kepada pasukan bolasepak kesayangannya.

“Bukan Kelantan, Arsenal la Pak Ngah”, aku menambah sambil tersenyum sinis.

“Pak Ngah cerita tentang Melaka United la, bukan Manchester United!” jawab Pak Ngah tegas sambil merenungku dengan mata yang membulat. Senyum sinis ku tadi sudah bertukar kelat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan