6/11/2008.
"Aku mengandung sekarang ni, dah masuk 4 bulan.. Aku dah cuba bermacam cara untuk gugurkan, tak juga berjaya.. apa aku nak buat ni?" Tina bercerita sambil terdengar esak tangisnya di hujung talian telefon..
Tina aku kenal sewaktu merempat di tepi jalan di Seremban. Waktu itu aku sedang gila mengikut kata hati remaja aku. Sedang memberontak melawan segala cakap ayah aku. Waktu itu tiada siapa betul selain aku. Tidur di Taman Tasik Seremban beralaskan beg pakaian, Mandi di tandas Terminal One tidak bersabun. Benar, aku gila ketika itu bila dikenangkan semua sekarang.
Sama seperti aku, jiwa remaja Tina juga sedang memberontak. Ayahnya seorang pemandu teksi berkahwin dengan seorang wanita dari Indonesia, membiarkan ibunya merana di rumah terkontang-kanting mengambil upah menjahit baju untuk menampung keluarga.
"Bang, boleh tumpang lepak sini ?" Ayat pertama dari Tina sewaktu mula kami berkenalan.
Waktu itu aku sedang berbaring cuba untuk tidur sambil merenung langit berharap tidak akan datang hujan. Dan bermula dari hari itu setiap hari kami berjumpa, bertukar cerita dan akhirnya menjadi teman akrab.
----------
"Masalahnya ini bukan anak tunang aku, tunang aku baik tak pernah sentuh aku." Jawab Tina sewaktu aku menyuruh dia memaksa tunangnya mempercepatkan pernikahan mereka.
"Celaka!. Habis siapa?"
"Hisyam."
Hisyam, pemuda berasal dari Machang, Kelantan. Seorang yang berkulit putih, tinggi dan boleh dikategorikan sebagai kacak. Supervisor di kilang tempat Tina bekerja. Bermula sebagai kawan tempat Tina meluah rasa hati dan menghilangkan sunyi sewaktu tunangnya yang bertugas sebagai anggota tentera berkursus selama 3 bulan di Sabah, hubungan mereka akhirnya berakhir di tempat tidur. Tubuh Tina menjadi santapan harian Hisyam. Segala ceruk tersembunyi di tubuh gebu Tina sudah berjaya ditawan Hisyam. Dan selepas Tina mengandung Hisyam menghilangkan diri pulang ke kampung halamannya dengan kejayaan besar menawan tubuh Tina tanpa ikatan. Meninggalkan zuriat di rahim tanda kenangan.
----------
"Aku kusut, aku rasa baik aku mati. Ok la terima kasih atas segala nasihat. Bagusnya kalau kau masih ada di Seremban. kau memang kawan aku dunia akhirat. Bye."
Ayat terakhir Tina ucapkan untuk aku sebelum menamatkan pebualan telefon hari itu. 3 hari selepas panggilan telefon dari Tina, aku mendapat pesanan ringkas mengejutkan dari seorang rakan di Seremban.
"Tina meninggal, Polis jumpa mayat dia dekat Sikamat. Bedah siasat cakap overdose gam."
----------
Hari ini, 9/11/2013 genap 5 tahun Tina pergi dan seperti tahun-tahun lalu di tarikh ini aku hanya mampu menyedekahkan Al-fatihah sebagai tanda ingatan buat seorang sahabat yang pernah sama-sama mengutip rokok buangan orang di jalanan untuk di hisap. Pernah sama-sama tidur dibawah langit malam sambil berharap hujan tidak akan datang. Terima kasih kawan untuk kenangan, maaf aku tiada sewaktu kau memerlukan. Semoga tenang disana di sisiNYA.
Al-Fatihah.
Al fatehah...kisah yang menyayat hati..
BalasPadam