9:30 malam.
Hujan masih turun. Malam makin dingin. Aku baru sampai di stesyen LRT destinasiku. Sebaik sahaja keluar dari stesyen, perut mula terasa lapar. Elok rasanya untuk aku singgah di mamak sebelum pulang ke apartment. Aku terus melangkah ke restoran mamak yang sering aku kunjungi. Sebaik sahaja aku duduk di meja, aku memesan sekeping roti naan bersama ayam tandoori dan segelas kopi o panas kurang manis. Tanpa lengah aku menikmati makan malamku.
Sambil menikmati makanan, aku memerhati di sekelilingku. Pada malam ini pengunjung di restoran mamak ini agak ramai, terutamanya kumpulan muda-mudi yang lebih kurang sebaya denganku. Mereka kelihatan riang. Masing-masing ada cerita yang mahu dikongsi. Hilai-tawa mereka memeriahkan suasana. Manusia kota sedang bersosial dan mejalani hidup. Ternyata restoran mamak ini sudah menjadi salah satu pusat sosial seperti pub dan tavern yang ada di barat.
Sesudah selesai makan malam, aku ke singki untuk membasuh tangan, kemudian terus ke kaunter untuk membayar harga makanan. Sampai di kaunter, ada seorang gadis yang sedang membayar bilnya. Penampilanya agak menarik. Dia memakai sehelai jean skinny indigo lusuh jenama Levis, tshirt biru firus dengan grafik kugiran Teenage Fanclub terpapar di dada dan dia menyarung sepasang kasut kanvas Superga. Rambutnya pendek persis potongan rambut Agyness Deyn. Wajahnya nampak comel dan babyface walaupun kelihatan seperti tomboy. Aku terpana melihat gadis tersebut.
"Excuse me, you boleh pinjamkan I seringgit tak? I tak cukup seringgit." gadis itu tiba-tiba bertanya kepadaku. Aku agak terkejut kerana pemerhatianku terhadapnya tiba-tiba dipintas dengan pertanyaan darinya. Dan dia menyedari bahawa aku sedang memerhatikannya.
"Err...ada." Aku terus mengeluarkan sekeping wang kertas seringgit yang kusam dari poket kiri seluar GAP khakis lalu aku berikan kepadanya.
"Thanks," jawabnya pantas. Dia terus membayar baki wang itu kepada penjaga kaunter. Kemudian dia mengambil sekeping tisu dari kaunter dan menulis sesuatu.
"Nah. Call me. I akan bayar balik seringgit you," kata gadis itu sambil menghulurkan tisu yang telah ditulis atasnya di kaunter tadi. Aku menyambut tisu tersebut.
"I nak cepat ni. Sorry sebab rushing macam ni. Contact me, ok?!" katanya sebelum terus bergerak meninggalkan kaunter bayaran. Aku hanya memerhatikan dia berlalu pergi. Sesudah dia hilang dari pandangan, aku terus membayar harga makanan sebelum bergerak pulang ke apartment.
Sambil aku menyusuri kaki lima dalam perjalanan pulang, aku mengeluarkan tisu yang diberikan oleh gadis yang aku jumpa di kaunter restoran mamak sebentar tadi. Namanya Anggun. Di bawah namanya tertera 10 digit nombor telefon.
Aku tersenyum sendirian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan