Khamis, 12 Disember 2013

Trip akhir.

Jam 10 malam, Jamil bingkas bangun dari kerusi kaunter tiket Syarikat Bas Gunung Lambak dan bergerak ke arah bas yang akan dipandunya. Sudah hampir 3 tahun dia bertugas sebagai pemandu bas penumpang. Jamil membakar sebatang rokok sebelum menghidupkan enjin menggerakkan bas yang dipandunya meninggalkan Perhentian Bas Kluang untuk menghala ke Bandar Kota Tinggi. Jamil mengerling ke cermin pandang belakangnya, memandangkan ini adalah trip terakhir, bilangan penumpang tidak ramai, tidak sampai separuh daripada bilangan tempat duduk didalam bas dipandunya.

Laluan sejauh lebih kurang 34km yang saban hari ditempuhi menyebabkan Jamil seakan sudah menghafal setiap lekuk lubang jalan dan selekoh di sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 34km itu. Jamil menyanyi kecil mengikut lagu-lagu yang ke udara di radio sambil sekali sekala menyedut rokok surya di tangannya.

"Ting !" bunyi loceng dibunyikan menandakan ada penumpang yang mahu turun, perlahan-lahan Jamil menekan brek dan memberikan isyarat kiri, lalu berhenti di bahu jalan. Setelah penumpangnya turun Jamil meneruskan perjalanannya. Ketika bas yang dipandunya menghampiri Taman Seri Lambak loceng bas dibunyikan berturut-turut, menandakan ramai penumpang ingin turun di sepanjang kawasan taman perumahan itu.

Suasana sepanjang jalan ke bandar Kota Tinggi agak gelap dan lengang dan dikelilingi ladang-ladang kelapa sawit, hanya sesekali sahaja terdapat kenderaan berselisih dengan bas yang dipanduya. "Patutlah lengang, sudah pukul 11.." Desis Jamil sendirian. Dia kemudian menoleh ke cermin padang belakang bas, dilihatnya masih ada beberapa penumpang yang belum sampai ke destinasi mereka. Seorang demi seorang penumpangnya menekan loceng untuk turun. Sewaktu menurunkan 3 orang penumpang terakhir kira-kira 7 kilometer dari Bandar Kota Tinggi Jamil terasa hatinya berdebar-debar apabila basnya bergerak semula. Jamil terasa seperti sedang diperhatikan. Dia mengerlingkan matanya ke arah cermin pandang belakang, kosong. Tiada penumpang yang tinggal, semua penumpangnya sudah pun turun di destinasi mereka.

Jamil menguatkan radio bas yang dipandunya, Dia menyeluk tangannya ke poket uniform merah yang disediakan oleh syarikatnya dan mengeluarkan sekotak surya, membakar sebatang rokok. Berkepul-kepul asap rokoknya memenuhi ruangan bas yang kosong itu. Jamil berlagak selamba seperti biasa, menenangkan perasaan hatinya itu. mulutnya menyanyi mengikut lagu yang ke udara.

Ketika melepasi satu selekoh tajam Jamil terasa bas yang dipandunya agak berat seakan terlebih muatan. Jamil lalu menghentikan basnya di bahu jalan dan turun memeriksa satu demi satu tayar basnya, bimbang kalau-kalau ada tayar yang pancit. Elok. keempat-empat tayarnya elok sahaja. Setelah berpuas hati Jamil meneruskan perjalanannya semua. Dia perlu menghantar bas yang dipanduya ke bengkel syarikat tempat di bekerja setiap hari setelah habis bekerja.

Ting !

Loceng bas berbunyi menandakan ada penumpang yang mahu turun dan serentak dengan bunyi itu mata Jamil melihat ke cermin pandang belakang. Kosong, tiada sesiapa. Hati Jamil mula dipagut cemas. Jantungnya berdetak deras sederas air Sungai Kahang mengalir di musim hujan. Dahinya mula basah dengan peluh dingin. Bulu tengkuknya meremang.

Ting ! Ting ! Ting ! Tinggggg !!!!!

Loceng bas terus berbunyi seolah-olah ditekan tidak berhenti. Dan tanpa di suruh kaki Jamil memijak pedal minyak rapat ke lantai. Jamil sudah tidak berani untuk melihat ke cermin pandang belakangnya lagi. Bas dipandunya memecut laju. Jamil sudah tidak peduli akan keselamatan dirinya. Dia hanya mahu sampai secepat mungkin ke bengkel syarikat, menghantar bas yang dipandunya dan cepat pulang ke rumah. Di dalam kepalanya sudah pun terfikir untuk menghantar notis berhenti kerja, biarlah ini menjadi trip terakhirnya memandu bas di laluan ini. Bas terus memecut laju.

"Bang, jangan laju sangat depan tu ada selekoh tajam, saya dulu mati terbabas dekat selekoh itu la.."

Jamil menoleh apabila terdengar suara bercakap dan bahunya terasa di tepuk orang. Muka Jamil berubah pucat. Tiada siapa, hanya dia bersendirian. Pandangan matanya gelap, Jamil pengsan. Bas terus bergerak laju menuju ke selekoh dan terus ke dalam gaung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan