"Macam mana rasa dia?"
"Susah nak cerita. Kau kena rasa sendiri, baru kau faham."
"Kau confirm ke yang ilham boleh datang?"
"Betul bro, aku tak tipu. Cubalah..."
Bersusah payah Din cuba meyakinkan Adrian untuk mencuba rokok yang bertembakaukan 'herba ajaib', namun Adrian masih ragu-ragu. Din faham. Bukan mudah untuk seseorang itu mencuba sesuatu yang asing dari kebiasaan. Perlu ada pujuk-rayu agar seseorang itu terbuka hatinya untuk mencuba.
Terlalu kerap Adrian bising-bising tentang ketandusan idea dalam mengarang. Adrian baru sahaja menerima tawaran untuk menyiapkan sebuah novel fiksi pertamanya, dan ternyata ianya satu tugas berat jika dibandingkan dengan mengarang cerpen.
Sebelum ini Adrian begitu terkenal dengan cerpen-cerpennya yang dimuatnaik di blog.Tanpa disangka, hobi diwaktu lapangnya itu telah berjaya memikat sebuah syarikat penerbitan kecil indie untuk menerbitkan novel sulungnya yang bertemakan fiksi. Jika dia mampu menulis 3-4 cerpen sehari, pasti tidak sukar untuk Adrian menyiapkan sebuah novel fiksi yang mempunyai lebih dari 40,000 patah perkataan.
Adrian berjanji akan memberikan draf novel fiksinya kepada syarikat penerbitan indie tersebut dalam masa 6 bulan. Kini sudah masuk minggu terakhir bulan kelima, Adrian masih gagal menyiapkan draf novelnya. Ini semua membuatkan dia runsing. Janji perlu ditepati. Yang menjadi masalah, ilham masih tidak mahu datang ke dalam kepalanya.
"Lama sangat kau komplen pasal takde idea. Apa kata kau cuba ni..." ujar Din kepada Adrian sambil menghulurkan rokok bertembakaukan 'herba ajaib'.
Din tahu yang Adrian amat memerlukan segala bantuan untuk mendapatkan ilham. Sudah 4 tahun Din dan Adrian berkongsi sebuah apartmen sewa yang menjadi tempat tinggal mereka sejak mereka mula berpindah ke ibukota untuk bekerja dari kampung halaman mereka di sebuah pekan kecil di utara, dan dia tidak pernah melihat Adrian begitu terdesak tentang sesuatu seperti apa yang dilihatnya sekarang ini.
Sebagai seorang sahabat yang prihatin, Din merasakan yang dia perlu membantu Adrian. Tidak sanggup dia melihat sahabat karibnya itu terus-menerus lemas dalam gundah-gulana. Pada pandangan Din, hanya ada satu jalan yang mampu dilakukannya untuk Adrian buat masa ini, iaitu memperkenalkan Adrian kepada 'herba ajaib'.
=================================
"Dah lama ke kau pekena benda ni Din?"
"Dah lama jugak. Tapi aku tak nak kecoh-kecoh."
"Apasal kau tak nampak macam penagih?"
"Ini bukan dadah Ad, ini recreational herbs".
Jawapan terakhir Din itu telah membuka hati Adrian untuk menyambut rokok yang disua oleh Din kepadanya. Adrian seorang perokok tegar, namun dia tidak pernah sekali dalam hidupnya dia menikmati 'herba ajaib'. Apa yang dia dengar dari orang, 'herba ajaib' mampu membuatkan peggunanya ketagih. Mungkin dia perlu mencuba untuk melihat sejauh mana kebenarannya disamping mengesahkan apa yang dikatakan oleh Din tentang keupayaan 'herba ajaib' membantu manusia mendapatkan ilham.
Adrian mula berjalan ke arah balkoni apartmen selepas mendapatkan rokok yang bertembakaukan 'herba ajaib' itu dari tangan Din. Di ruang bakoni, Adrian pun menyalakan rokok bertembakaukan 'herba ajaib' itu, dan dia mula menikmatinya.
"Uhuk! Uhuk!" Adrian tersedak. Matanya berair. Tidak disangka sedutan pertama asap 'herba ajaib' itu begitu keras rasanya. Begitu berbeza sekali rasa menyedut asap tembakau berbanding menyedut asap 'herba ajaib'.
Din yang memerhatikan aksi Adrian dari tempat dia melabuhkan badan di sofa di ruang tamu apartmen ketawa berdekah-dekah.
"Pelan-pelan kayuh Ad. Benda tu bukan macam rokok yang biasa kau isap", Din mencelah dalam ketawa yang masih galak.
Adrian yang masih lagi merasa perit akibat sedutan pertamanya tersegih memandang Din.
"Lain kali bagitau la awal-awal. Nasib baik aku tak mati tersedak."
Selepas nasihat Din, sedutan kali kedua yang dilakukan Adrian lebih lembut berbanding sedutan pertama. Adrian yang sebelum ini ragu-ragu dengan saranan Din tentang 'herba ajaib' mula merasai satu kelainan apabila dia mula menyedutnya buat kali kedua. Setelah menghembus keluar asapnya, Adrian mengulangi sedutannya.
Sedutan ketiga, keempat, kelima.
Angin malam mula bertiup. Keadaan di ruang balkoni menjadi dingin. Adrian nampaknya sudah dapat membiasakan diri menikmati 'herba ajaib' pemberian Din.
Dari ruang balkoni, Adrian memandang Din yang duduk di sofa dengan senyuman. Entah bagaimana Adrian merasai satu ketenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini apabila dia menikmati rokok pemberian Din. Mungkin 'herba ajaib' ini mampu membantu dirinya untuk mendapatkan ilham.
"Thanks Din", ucap Adrian dengan senyuman.
Din mengangkat tangan sambil menunjukkan isyarat OK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan