Sabtu, 21 Disember 2013

Cuba nasib

Jumaat. Jam 10:30 malam.

Aku keseorangan di apartment. Zain masih belum lagi pulang dari kerja. Mungkin dia menghabiskan masa di mamak atau kafe sebelum pulang ke apartment.

Aku membelek-belek Samsung Galaxy SIII di tanganku sambil aku melabuhkan badan di atas sofa di ruang tamu.

"Mel..", tiba-tiba namanya terpancul di mulutku. Telefon pintar yang aku belek di tangan telah mengingatkan aku kepada Mel.

Sejak peristiwa pertemuan aku, Zain dan Mel di sebuah kafe franchise terkenal di KLCC tempoh hari, aku dan Mel seakan renggang. Di pejabat, aku juga agak jarang dapat bertemu atau berkomunikasi dengan Mel. Mungkin kerana tiada keperluan untuk kami kerap bertemu, atau mungkin juga kerana aku mahu menjauhkan diriku dari Mel buat seketika.

Mungkin ini ini peluang aku untuk membetulkan keadaan. Kenapa aku mahu jauhkan diri dari Mel? Walaupun aku tidak berapa suka Mel berkenalan dengan Zain, itu bukan alasan untuk aku menjauhkan diri darinya.

Aku menghantar mesej ke Mel melalui WhatsApp.

Aku : Hello Mel :-) Kat mana?

Mel : Hey there luv! I kat depan TGV KLCC tengah nak beli tiket midnite.

Luv?!  Adakah ini isyarat dari Mel? Apapun, satu perkara yang telah aku belajar dari sekolah menengah tentang perempuan ialah jangan mudah termakan kata-kata manis sekiranya ianya pertama kali kau dengar dari mulutnya. Mungkin itu hanya  gurauan, atau mungkin itu juga perangkap.


Ahh, persetankan tentang maksud sebenar 'luv' yang datang dari Mel itu. aku perlu fokus untuk mendekati Mel buat masa ini. Aku perlu mencuba nasib.

Aku cuba menawarkan diri untuk menemani Mel menonton filem tayangan tengah malam.

Aku : Senyap2 je plan nak tengok midnite. Tak nak I temankan? :-)

Mel : Dont worry. Im wit your friend Zain :-)

Hatiku sedikit tersentak apabila Mel memberitahu yang dia ditemani Zain.

'Titt... titt'.

Bunyi menandakan ada mesej baru di dalam apps WhatsApp.

Zain : Bro, jangan risau la. Aku ada jaga Mel :-)

Aku terus duduk di sofa apabila menerima mesej dari Zain. Macam mana Zain boleh bersama dengan Mel? Fikiranku yang tadinya tenteram mula menjadi kusut.

Aku tak tahu bagaimana hendak ku balas mesej dari Zain. Cemburu datang merasuk apabila mengetahui yang Zain sedang bersama Mel. Tapi apakah cemburu aku itu berguna sekiranya perasaan itu hanya wujud dalam diri aku yang memendam perasaan terhadap Mel?

Aku : Take good care of her....

Itu sahaja yang mampu aku balas. Hati kecil ini terus membengkak dengan cemburu. Aku letakkan smartphone Samsung Galaxy SIII ku ke atas coffee table di tengah ruang tamu. Aku melabuh badanku ke atas sofa agar perasaan ini dapat kembali tenang.

'Titt... titt'.

Aku terus mencapai Samsung Galaxy SIII dan terus membuka app WhatsApp.

Zain : ABSOLUTELY bro!  >;-)

'Titt... titt'.

Mesej masuk lagi ke Samsung Galaxy SIII ku, dan ianya dari Zain.

Zain : Btw, tak payah risau kalau aku tak balik rumah... 

Cemburuku makin membuak.

Selasa, 17 Disember 2013

susah

* kau tak boleh buat aku macam ni. ingat aku takde perasaan ke?
# aku tak boleh hilang kau. aku tak kisah kau nak kata aku pentingkan diri ke apa, yang aku tahu aku taknak hilang kau. hidup aku macam tak lengkap kalau kau takde xandria. tolonglah sabtu ni bagi aku tengok muka kau for the last time. tolong senyum depan aku dan ketawa. itu aku nak tengok sebelum kau betul betul dengan keputusan kau xandria.

#xandria, kau free? aku nampak kau dah. jom lepak luar kejap. bagi aku tengok muka kau dekat lagi.
*okay

dari pandangan sisi hingga muka tu betul betul di hadapan aku. muka yang aku berat nak tengok. muka yang panah hati aku. muka si dia si pencuri hati. perbualan serious kini bertukar menjadi lebih santai. atau lebih senang menjadi seperti biasa. seperti tiada apa apa berlaku. gelak ketawa tepuk tampar hingga larut malam.

keadaan menjadi seperti biasa. dia perlu aku. aku perlu dia.

sekarang. siapa yang tidak tetap pendirian?

xandria.

Isnin, 16 Disember 2013

Kali pertama

"Macam mana rasa dia?"

"Susah nak cerita. Kau kena rasa sendiri, baru kau faham."

"Kau confirm ke yang ilham boleh datang?"

"Betul bro, aku tak tipu. Cubalah..."

Bersusah payah Din cuba meyakinkan Adrian untuk mencuba rokok yang bertembakaukan 'herba ajaib', namun Adrian masih ragu-ragu. Din faham. Bukan mudah untuk seseorang itu mencuba sesuatu yang asing dari kebiasaan. Perlu ada pujuk-rayu agar seseorang itu terbuka hatinya untuk mencuba.

Terlalu kerap Adrian bising-bising tentang ketandusan idea dalam mengarang. Adrian baru sahaja menerima tawaran untuk menyiapkan sebuah novel fiksi pertamanya, dan ternyata ianya satu tugas berat jika dibandingkan dengan mengarang cerpen.

Sebelum ini Adrian begitu terkenal dengan cerpen-cerpennya yang dimuatnaik di blog.Tanpa disangka, hobi diwaktu lapangnya itu telah berjaya memikat sebuah syarikat penerbitan kecil indie untuk menerbitkan novel sulungnya yang bertemakan fiksi. Jika dia mampu menulis 3-4 cerpen sehari, pasti tidak sukar untuk Adrian menyiapkan sebuah novel fiksi yang mempunyai lebih dari 40,000 patah perkataan.

Adrian berjanji akan memberikan draf novel fiksinya kepada syarikat penerbitan indie tersebut dalam masa 6 bulan. Kini sudah masuk minggu terakhir bulan kelima, Adrian masih gagal menyiapkan draf novelnya. Ini semua membuatkan dia runsing. Janji perlu ditepati. Yang menjadi masalah, ilham masih tidak mahu datang ke dalam kepalanya.

"Lama sangat kau komplen pasal takde idea. Apa kata kau cuba ni..." ujar Din kepada Adrian sambil menghulurkan rokok bertembakaukan 'herba ajaib'.

Din tahu yang Adrian amat memerlukan segala bantuan untuk mendapatkan ilham. Sudah 4 tahun Din dan Adrian berkongsi sebuah apartmen sewa yang menjadi tempat tinggal mereka sejak mereka mula berpindah ke ibukota untuk bekerja dari kampung halaman mereka di sebuah pekan kecil di utara, dan dia tidak pernah melihat Adrian begitu terdesak tentang sesuatu seperti apa yang dilihatnya sekarang ini.

Sebagai seorang sahabat yang prihatin, Din merasakan yang dia perlu membantu Adrian. Tidak sanggup dia melihat sahabat karibnya itu terus-menerus lemas dalam gundah-gulana. Pada pandangan Din, hanya ada satu jalan yang mampu dilakukannya untuk Adrian buat masa ini, iaitu memperkenalkan Adrian kepada 'herba ajaib'.


                                   =================================


"Dah lama ke kau pekena benda ni Din?"

"Dah lama jugak. Tapi aku tak nak kecoh-kecoh."

"Apasal kau tak nampak macam penagih?"

"Ini bukan dadah Ad, ini recreational herbs".

Jawapan terakhir Din itu telah membuka hati Adrian untuk menyambut rokok yang disua oleh Din kepadanya. Adrian seorang perokok tegar, namun dia tidak pernah sekali dalam hidupnya dia menikmati 'herba ajaib'. Apa yang dia dengar dari orang, 'herba ajaib' mampu membuatkan peggunanya ketagih. Mungkin dia perlu mencuba untuk melihat sejauh mana kebenarannya disamping mengesahkan apa yang dikatakan oleh Din tentang keupayaan 'herba ajaib' membantu manusia mendapatkan ilham.

Adrian mula berjalan ke arah balkoni apartmen selepas mendapatkan rokok yang bertembakaukan 'herba ajaib' itu dari tangan Din. Di ruang bakoni, Adrian pun menyalakan rokok bertembakaukan 'herba ajaib' itu, dan dia mula menikmatinya.

"Uhuk! Uhuk!" Adrian tersedak. Matanya berair. Tidak disangka sedutan pertama asap 'herba ajaib' itu begitu keras rasanya. Begitu berbeza sekali rasa menyedut asap tembakau berbanding menyedut asap 'herba ajaib'.

Din yang memerhatikan aksi Adrian dari tempat dia melabuhkan badan di sofa di ruang tamu apartmen ketawa berdekah-dekah.

"Pelan-pelan kayuh Ad. Benda tu bukan macam rokok yang biasa kau isap", Din mencelah dalam ketawa yang masih galak.

Adrian yang masih lagi merasa perit akibat sedutan pertamanya tersegih memandang Din.

"Lain kali bagitau la awal-awal. Nasib baik aku tak mati tersedak."

Selepas nasihat Din, sedutan kali kedua yang dilakukan Adrian lebih lembut berbanding sedutan pertama. Adrian yang sebelum ini ragu-ragu dengan saranan Din tentang 'herba ajaib' mula merasai satu kelainan apabila dia mula menyedutnya buat kali kedua. Setelah menghembus keluar asapnya, Adrian mengulangi sedutannya.

Sedutan ketiga, keempat, kelima.

Angin malam mula bertiup. Keadaan di ruang balkoni menjadi dingin. Adrian nampaknya sudah dapat membiasakan diri menikmati 'herba ajaib' pemberian Din.

Dari ruang balkoni, Adrian memandang Din yang duduk di sofa dengan senyuman. Entah bagaimana Adrian merasai satu ketenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini apabila dia menikmati rokok pemberian Din. Mungkin 'herba ajaib' ini mampu membantu dirinya untuk mendapatkan ilham.

"Thanks Din", ucap Adrian dengan senyuman.

Din mengangkat tangan sambil menunjukkan isyarat OK.



Khamis, 12 Disember 2013

Trip akhir.

Jam 10 malam, Jamil bingkas bangun dari kerusi kaunter tiket Syarikat Bas Gunung Lambak dan bergerak ke arah bas yang akan dipandunya. Sudah hampir 3 tahun dia bertugas sebagai pemandu bas penumpang. Jamil membakar sebatang rokok sebelum menghidupkan enjin menggerakkan bas yang dipandunya meninggalkan Perhentian Bas Kluang untuk menghala ke Bandar Kota Tinggi. Jamil mengerling ke cermin pandang belakangnya, memandangkan ini adalah trip terakhir, bilangan penumpang tidak ramai, tidak sampai separuh daripada bilangan tempat duduk didalam bas dipandunya.

Laluan sejauh lebih kurang 34km yang saban hari ditempuhi menyebabkan Jamil seakan sudah menghafal setiap lekuk lubang jalan dan selekoh di sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 34km itu. Jamil menyanyi kecil mengikut lagu-lagu yang ke udara di radio sambil sekali sekala menyedut rokok surya di tangannya.

"Ting !" bunyi loceng dibunyikan menandakan ada penumpang yang mahu turun, perlahan-lahan Jamil menekan brek dan memberikan isyarat kiri, lalu berhenti di bahu jalan. Setelah penumpangnya turun Jamil meneruskan perjalanannya. Ketika bas yang dipandunya menghampiri Taman Seri Lambak loceng bas dibunyikan berturut-turut, menandakan ramai penumpang ingin turun di sepanjang kawasan taman perumahan itu.

Suasana sepanjang jalan ke bandar Kota Tinggi agak gelap dan lengang dan dikelilingi ladang-ladang kelapa sawit, hanya sesekali sahaja terdapat kenderaan berselisih dengan bas yang dipanduya. "Patutlah lengang, sudah pukul 11.." Desis Jamil sendirian. Dia kemudian menoleh ke cermin padang belakang bas, dilihatnya masih ada beberapa penumpang yang belum sampai ke destinasi mereka. Seorang demi seorang penumpangnya menekan loceng untuk turun. Sewaktu menurunkan 3 orang penumpang terakhir kira-kira 7 kilometer dari Bandar Kota Tinggi Jamil terasa hatinya berdebar-debar apabila basnya bergerak semula. Jamil terasa seperti sedang diperhatikan. Dia mengerlingkan matanya ke arah cermin pandang belakang, kosong. Tiada penumpang yang tinggal, semua penumpangnya sudah pun turun di destinasi mereka.

Jamil menguatkan radio bas yang dipandunya, Dia menyeluk tangannya ke poket uniform merah yang disediakan oleh syarikatnya dan mengeluarkan sekotak surya, membakar sebatang rokok. Berkepul-kepul asap rokoknya memenuhi ruangan bas yang kosong itu. Jamil berlagak selamba seperti biasa, menenangkan perasaan hatinya itu. mulutnya menyanyi mengikut lagu yang ke udara.

Ketika melepasi satu selekoh tajam Jamil terasa bas yang dipandunya agak berat seakan terlebih muatan. Jamil lalu menghentikan basnya di bahu jalan dan turun memeriksa satu demi satu tayar basnya, bimbang kalau-kalau ada tayar yang pancit. Elok. keempat-empat tayarnya elok sahaja. Setelah berpuas hati Jamil meneruskan perjalanannya semua. Dia perlu menghantar bas yang dipanduya ke bengkel syarikat tempat di bekerja setiap hari setelah habis bekerja.

Ting !

Loceng bas berbunyi menandakan ada penumpang yang mahu turun dan serentak dengan bunyi itu mata Jamil melihat ke cermin pandang belakang. Kosong, tiada sesiapa. Hati Jamil mula dipagut cemas. Jantungnya berdetak deras sederas air Sungai Kahang mengalir di musim hujan. Dahinya mula basah dengan peluh dingin. Bulu tengkuknya meremang.

Ting ! Ting ! Ting ! Tinggggg !!!!!

Loceng bas terus berbunyi seolah-olah ditekan tidak berhenti. Dan tanpa di suruh kaki Jamil memijak pedal minyak rapat ke lantai. Jamil sudah tidak berani untuk melihat ke cermin pandang belakangnya lagi. Bas dipandunya memecut laju. Jamil sudah tidak peduli akan keselamatan dirinya. Dia hanya mahu sampai secepat mungkin ke bengkel syarikat, menghantar bas yang dipandunya dan cepat pulang ke rumah. Di dalam kepalanya sudah pun terfikir untuk menghantar notis berhenti kerja, biarlah ini menjadi trip terakhirnya memandu bas di laluan ini. Bas terus memecut laju.

"Bang, jangan laju sangat depan tu ada selekoh tajam, saya dulu mati terbabas dekat selekoh itu la.."

Jamil menoleh apabila terdengar suara bercakap dan bahunya terasa di tepuk orang. Muka Jamil berubah pucat. Tiada siapa, hanya dia bersendirian. Pandangan matanya gelap, Jamil pengsan. Bas terus bergerak laju menuju ke selekoh dan terus ke dalam gaung.


Isnin, 9 Disember 2013

Baik

"Kenapa?" Mak.

"Sebab dia baik." Aku.

Itu sahaja jawapan aku. Perempuan baik untuk lelaki baik dan sebaliknya. Betul.

Perempuan baik untuk lelaki tidak baik dan sebaliknya. Juga betul.

Biarkan baik itu bertebaran ke setiap ceruk. Biarkan semua merasa.

Aku bukan lelaki baik. Tetapi aku ada dia yang baik.

Aku bukan lelaki baik yang setiap hari  bertambah baik.

Terima kasih untuk kebaikan.

Harap semua baik baik sahaja.