Jika ada orang yang bertanya kepadaku bagaimana aku boleh terangkan kepada mereka tentang cinta kita, aku akan jawab bahawa cinta kita itu umpama seekor kucing Parsi. Kucing Parsi yang ada bulu kembang rona kelabu, matanya biru, lincah dan manja.
Cinta kita umpama kucing Parsi kerana sewaktu kita mesra bercinta, cinta itu nampak cantik, cinta itu penuh kemanjaan, cinta itu penuh kemesraan. Kau sentiasa mahu bersamanya. Kau sentiasa mahu usap, peluk dan gomol.
Dan apabila cinta kita berantakan, cinta kita itu masih seperti kucing Parsi... kucing Parsi yang sudah tidak mahu kau usap, peluk dan gomol kerana kucing Parsi itu sudah busuk dan kotor pada pandangan matamu. Jika cinta itu mahu mendekati, kau tendang dan kau terajang agar ianya jauh dari kau.
Dan apabila kau tinggalkan aku, cinta kita itu pada pandangan mataku masih lagi seperti kucing Parsi... kucing Parsi yang mati dilanggar kereta dan terus-menerus dilenyek oleh kereta, van, bas, lori dan trailer di atas jalanraya. Walaupun bangkai kucing Parsi itu telah hancur dan berkecai, namun di atas jalanraya itu masih kelihatan bekas bangkainya. Begitulah kesan kecewa cinta itu kepada hatiku. Sakit dan berbekas.
Dan aku juga yakin bahawa cinta yang ada dalam hatimu itu telah bertukar menjadi benci... dan bencimu itu boleh diumpamakan seperti kereta, van, bas, lori dan trailer yang menggilis bangkai kucing Parsi yang terdampar di atas jalanraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan